Berita Semasa

Berita Semasa (141)

16 April 2026 (Khamis) – Politeknik Muadzam Shah (PMS) terus mengorak langkah sebagai peneraju kecemerlangan inovasi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menerusi penganjuran Innovation and Invention Competition via Exhibition (iCoVEx’26) yang melabuhkan tirainya hari ini dalam Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Anugerah di Dewan Seri Gading. Majlis telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang.
 
Turut hadir ialah Tn. Haji Ulaimi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK); Encik Shahrul Nizam bin Mohamed, Timbalan Pengarah Akademik ; Encik Akmal bin Adanan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Melaka merangkap Ketua Panel Juri iCoVEx 2026 serta Encik Mohd Helmi bin Salleh, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik.
 
Sebanyak 28 kumpulan penyertaan telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini, membuktikan keupayaan pelajar TVET dalam menghasilkan idea kreatif dan penyelesaian inovatif yang berpotensi tinggi untuk diketengahkan ke peringkat lebih luas.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 15 hingga 16 April 2026 ini menghimpunkan pelajar dalam pembentangan dan pameran projek inovasi merangkumi pelbagai bidang termasuk teknologi digital dan Internet of Things (IoT), pemasaran dan perkhidmatan, rekabentuk produk dan multimedia kreatif serta mesin dan peralatan.
 
Dalam ucapan perasmian penutup, YB Dato Nizar menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem inovasi:
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong usaha memperkasa bidang sains, teknologi dan inovasi, dan saya percaya kolaborasi strategik antara institusi pendidikan dan industri akan terus memperkukuh ekosistem inovasi negara.” Majlis turut menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman bersama rakan strategik industri sebagai usaha memperkukuh jaringan kolaborasi serta meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET. Kemuncak program adalah pengumuman pemenang dan penyampaian anugerah bagi setiap kategori pertandingan serta anugerah keseluruhan iCoVEx’26 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan inovasi yang dihasilkan.
 
Kejayaan penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan PMS dalam memperkasa budaya inovasi dan kreativiti selaras dengan aspirasi menjadikan TVET sebagai pilihan utama dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berdaya saing dan berimpak kepada pembangunan negara. Pihak Politeknik Muadzam Shah (PMS) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib atas kesudian hadir serta menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup iCoVEx’26.
 
Sekalung tahniah diucapkan kepada semua pemenang iCoVEx’26 atas pencapaian cemerlang yang membanggakan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan di peringkat yang lebih tinggi.
5 April 2026 – Politeknik Muadzam Shah (PMS) telah menghantar satu pasukan seramai 10 orang pelajar bagi menyertai pertandingan Mara Lasak Pahang 2.0 yang berlangsung di Felda Chini 1.
 
Pasukan ini terdiri daripada pelajar yang sedang mengikuti kokurikulum Askar Wataniah 2 di bawah bimbingan Mej Suyani. Penyertaan ini bertujuan menguji ketahanan fizikal, mental serta semangat berpasukan dalam kalangan pelajar. Dalam pertandingan tersebut, pasukan PMS berjaya menamatkan larian dengan cemerlang dan meraih tempat ke-10 daripada keseluruhan 21 penyertaan bagi kategori IPT/Belia/Komuniti.
 
Pencapaian ini mencerminkan semangat juang tinggi serta komitmen pelajar dalam menyahut cabaran, di samping mengharumkan nama institusi di peringkat negeri. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta yang terlibat!
 
12 Mac 2026 – Kursus PPK Cloud Accounting telah berlangsung selama empat hari bermula 9 Mac sehingga 12 Mac 2026 bertempat di Bilik Seminar ULPL. Kursus ini disertai seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada wakil POLYCC di seluruh Malaysia.
Kursus ini telah dikendalikan oleh penceramah jemputan, En. Nazzel Mansor yang merupakan Master Trainer Autocount Software. Sepanjang kursus berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan penggunaan aplikasi perisian perakaunan secara lebih sistematik dan praktikal.
 
Turut hadir, Pengarah Politeknik Muadzam Shah, Tuan Haji Mohd Yusof bin Zakaria dan majlis penutup serta penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh beliau. Timbalan Pengarah Akademik (TPA), En. Shahrul Nizam bin Mohamed juga berkesempatan menyantuni para peserta serta penceramah sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran kursus yang memberi impak positif kepada peningkatan kompetensi staf.
 
Antara objektif pelaksanaan kursus ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dalam aplikasi perisian perakaunan, menjana sistem laporan kewangan yang lebih efektif serta meningkatkan kemahiran dalam menyediakan akaun berkaitan bagi perniagaan sebenar.
Penganjuran kursus seumpama ini diharap dapat memperkukuh kefahaman peserta dalam bidang perakaunan digital selari dengan keperluan semasa industri.
 

6 Mac 2026 (Jumaat) – Politeknik Muadzam Shah (PMS) telah menerima lawatan rasmi YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi bagi meninjau perkembangan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan 1 Tahun 2026.
Ketibaan YB Menteri telah disambut oleh YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, serta YBrs. Encik A. Azman bin Arshad, Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, bersama barisan pengurusan Politeknik Muadzam Shah.


Sepanjang lawatan rasmi ini, YB Menteri turut dibawa meninjau beberapa lokasi dan kemudahan sekitar kampus bagi melihat sendiri keadaan fasiliti serta perkembangan projek pembangunan di institusi ini. Lawatan tersebut turut diisi dengan sesi taklimat oleh Pengarah Politeknik Muadzam Shah, Tuan Haji Mohd Yusof bin Zakaria, yang membentangkan perkembangan semasa institusi serta penerangan berkaitan pelaksanaan projek penyelenggaraan bangunan usang dan projek pembangunan di bawah RMK-13.


Dalam lawatan ini juga, YB Menteri sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Politeknik Muadzam Shah bersama warga kampus sebelum menyampaikan sumbangan kepada pelajar asnaf PMS sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pelajar.
Seluruh warga Politeknik Muadzam Shah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian YB Menteri meluangkan masa mengadakan lawatan rasmi ke PMS, sekali gus memberi suntikan semangat kepada warga institusi dalam meneruskan agenda kecemerlangan pendidikan TVET.

24 Februari 2026 (Selasa) – Seramai 32 orang pelajar Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) Semester 2 (DPM2B) bersama empat orang pensyarah pengiring telah mengadakan lawatan ilmiah ke Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang. Lawatan ini diketuai oleh Ketua Jabatan Pengajian Am, Ustaz Badrul Hakimi bin Mohd Bastamam selaku ketua delegasi.
 
Program anjuran Unit Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai bahaya jenayah rasuah, salah guna kuasa serta kepentingan amalan integriti dalam kehidupan seharian. Lawatan ini turut memberi peluang kepada pelajar memahami dengan lebih mendalam peranan, fungsi dan bidang kuasa SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.
Sepanjang program, para pelajar telah mengikuti sesi taklimat berkaitan fungsi SPRM, prosedur siasatan serta inisiatif pencegahan rasuah yang dilaksanakan. Pelajar juga dibawa melawat beberapa fasiliti di kompleks berkenaan bagi melihat dengan lebih dekat mekanisme operasi dan pelaksanaan tugas penguatkuasaan.
 
Program ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh pembelajaran teori di dalam kelas dengan pengalaman sebenar di lapangan. Pendedahan tersebut diharapkan dapat menyemai kesedaran serta membentuk jati diri pelajar agar sentiasa menjunjung tinggi nilai integriti dan etika dalam setiap tindakan.
4 Februari 2026 (Rabu): Sekitar Majlis Penutup dan Pengumuman Keputusan Pilihan Raya Kampus Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Politeknik Muadzam Shah Sesi 2026 yang telah disempurnakan oleh Pengarah PMS, Tuan Haji Mohd Yusof Bin Zakaria. Turut hadir memeriahkan majlis, Yang Berusaha Encik Shahrul Nizam bin Mohamed, Timbalan Pengarah Akademik , Yang Berusaha Encik Zulhelmi bin Ahmad, Ketua Unit HEP, Yang Berusaha Encik Syahmi bin Mohd Zahir, Pegawai HEP (Kebajikan & Disiplin), Yang Berusaha Encik Mohd Firdaus Bin Mohd Fauzi , Pengurus PRK JPP PMS 2026 serta barisan Ketua Jabatan, Ketua Unit, Ketua Program, para pensyarah dan warga Politeknik Muadzam Shah.
 
Pilihan Raya Kampus kali ini menyaksikan seramai 1,956 orang pelajar menunaikan tanggungjawab mengundi secara dalam talian melalui sistem SPMP. Sebanyak 43 orang calon telah bertanding bagi merebut jawatan Majlis Tertinggi dan Exco, dan hanya 26 orang calon dipilih untuk menerajui kepimpinan pelajar bagi sesi 2026.
 
Tahniah diucapkan kepada barisan kepimpinan yang berjaya dipilih. Semoga amanah yang diberikan dapat digalas dengan penuh integriti, komitmen dan semangat kebersamaan demi kesejahteraan warga kampus. Kepada calon yang kurang bernasib baik, teruskan melangkah dengan semangat juang yang tinggi. Setiap pengalaman adalah proses pembelajaran yang membentuk pemimpin masa hadapan. Pilihan Raya Kampus bukan sekadar pemilihan, tetapi medan pembelajaran demokrasi, integriti dan kepimpinan beretika dalam membina mahasiswa yang berdaya saing serta berjiwa besar.
 
2 Februari 2026 (Selasa) : Jawatankuasa Pusat Islam Politeknik Muadzam Shah (PMS) telah mengadakan kunjung hormat ke Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Pusat Islam PMS diwakili oleh Ustaz Mohd Shahkri bin Jusoh, Ustaz Saiful Nizam bin Mukhtar dan Ustaz Mohd Taha bin Rulam Ahmad. Kunjungan ini telah berlangsung di pejabat Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (TCEO) MUIP, YBrs. Dr. Haji Asmadi bin Abdul Rahman bagi membincangkan pengurusan wakalah institusi serta dasar-dasar berkaitan hal ehwal Agama Islam, khususnya yang melibatkan institusi pendidikan.
 
MUIP merupakan rakan kolaborasi strategik Politeknik Muadzam Shah serta menjadi rujukan utama dalam pelaksanaan program-program keagamaan. MUIP juga banyak membantu dari aspek wakalah zakat serta sumbangan kewangan kepada pelajar cemerlang dalam majlis konvokesyen PMS.
Semoga hubungan kerjasama ini terus diperkukuh demi memperkasa pembangunan rohani, kebajikan dan syiar Islam dalam kalangan warga Politeknik Muadzam Shah.

2 & 3 Februari 2026 : Warga Jabatan Reka Bentuk dan Komunikasi Visual (JRKV) yang terdiri daripada para pensyarah dan pelajar kelas DRG2A, Politeknik Muadzam Shah telah berjaya melaksanakan Program CSR Mural bertempat di Sekolah Rendah Agama Islamiah, Bandar Tun Abdul Razak.

Program ini telah berjaya dilaksanakan dengan lancar hasil kerjasama padu serta komitmen tinggi semua pihak yang terlibat. Inisiatif ini bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan serta memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat melalui penghasilan mural yang kreatif dan bermakna.
Penglibatan warga JRKV dalam menyumbang kepakaran dan idea kreatif turut memberi impak positif dalam menceriakan persekitaran sekolah serta memberi inspirasi kepada para pelajar.
Semoga usaha murni ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat bersama.


“Lakar Masa Depan dengan Kreativiti bersama JRKV PMS”

13 Januari 2026 (Selasa): Politeknik Muadzam Shah PMS telah menerima kunjungan hormat daripada Agensi Antidadah Kebangsaan AADK Daerah Rompin yang diketuai oleh Pn Salmiah Binti Saliman, Ketua AADK Daerah Rompin bersama Pegawai-pegawai AADK Rompin. 


Kunjungan ini telah disambut oleh Tuan Haji Mohd Yusof Bin Zakaria Pengarah PMS, Timbalan Pengarah Akademik, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Ketua Unit HEP serta Pegawai Hal Ehwal Pelajar. Pertemuan ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik khususnya dalam usaha pencegahan penyalahgunaan dadah dan pembangunan sahsiah pelajar.


Sesi ini turut menjadi platform perbincangan berhubung pelaksanaan program kesedaran antidadah, aktiviti pencegahan di peringkat kampus serta inisiatif sokongan kepada pelajar. Politeknik Muadzam Shah merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada AADK Daerah Rompin atas kunjungan ini dan berharap kerjasama yang terjalin dapat diteruskan demi kesejahteraan warga pelajar PMS.

11 Disember 2025 (Khamis): Politeknik Muadzam Shah hari ini menerima kehadiran rombongan seramai 17 orang delegasi Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia yang diketuai oleh Dr. Weni Nelmira, S.Pd, M.Pd T. Lawatan ini diadakan bagi memperkukuh hubungan akademik dan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
 
Sepanjang program, delegasi UNP mengikuti sesi lawatan fasiliti seperti Galeri PMS, Pameran EV, Hybrid Classroom dan TECC 4.0, disusuli perbincangan akademik melibatkan potensi kerjasama dalam bidang TVET, inovasi, penyelidikan dan pembangunan kapasiti pensyarah. Majlis turut menyaksikan upacara menandatangani Letter of Intent (LOI) sebagai komitmen awal ke arah kerjasama dua hala.
 
Turut hadir memeriahkan program ialah wakil daripada Politeknik Besut Terengganu (PBT) yang turut mengambil bahagian melalui pameran dan perkongsian kepakaran.
 
PMS merakamkan penghargaan kepada delegasi UNP atas kesudian hadir dan diharap melalui lawatan ini membuka lebih banyak ruang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi pada masa akan datang.