PENSYARAH PMS DILANTIK SEBAGAI PAKAR INSTRUKSIONAL POLYCC 2026
KUALA LUMPUR, 14 Mei 2026 – Pensyarah Kanan DH12 (M), Jabatan Perdagangan, Politeknik Muadzam Shah, Dr. Radziah Binti Mohd Dani telah dilantik sebagai Pakar Instruksional Politeknik dan Kolej Komuniti (PILOT) bagi tempoh Mei 2026 hingga Mei 2029 selepas berjaya menamatkan Program Latihan Kepimpinan Instruksional Politeknik dan Kolej Komuniti 2026 yang berlangsung di The Pearl Kuala Lumpur. Majlis penutup program telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Abdul Razak bin Sabtu, Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Turut hadir ialah YBrs. En. Zaidi bin Othman, Pengarah Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital (BIPD), JPPKK.
Program anjuran BIPD, JPPKK itu menghimpunkan seramai 36 pensyarah PolyCC yang dilantik sebagai Pakar Instruksional PolyCC 2026 buat julung kalinya dalam usaha memperkasa budaya pengajaran dan pembelajaran berkualiti di institusi masing-masing.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai sesi latihan bersama pakar daripada UKM, TVET Consultant, PMJB, PIS dan PNS yang memberi fokus kepada kepimpinan instruksional TVET, pedagogi berasaskan OBE, transformasi digital dan AI dalam PdP, penyelarasan kurikulum bersama industri serta inovasi pengajaran dan pembelajaran.
Penubuhan PILOT bertujuan melahirkan pemimpin instruksional yang berperanan sebagai mentor, pemudah cara dan ejen perubahan dalam memperkukuh pedagogi, inovasi PdP, integrasi teknologi digital serta budaya perkongsian ilmu di PolyCC.
Majlis turut menyaksikan pelancaran eBook Playbook Learning Effective yang memberi penekanan kepada pendekatan Interactive Form, Technology-Based dan Industry-Based bagi menyokong pembelajaran aktif, penggunaan teknologi dan AI serta pembelajaran autentik berasaskan industri.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Dr. Radziah Binti Mohd Dani atas pelantikan ini. Semoga amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan cemerlang dalam memperkukuh ekosistem pendidikan TVET yang progresif, inovatif dan berimpak tinggi.
Read 130 times
Published in: Berita Semasa
