Sesebuah organisasi mampu berdiri gagah dan cemerlang dengan adanya kakitangan yang kompeten dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas. Maka tidak hairanlah kakitangan yang kompeten merupakan aset yang paling berharga dalam membantu organisasi bergerak menuju visi dan misi yang ingin dicapai. Dalam persekitaran teknologi yang berubah pantas, kakitangan perlu senantiasa bersedia untuk berubah dan belajar bagi meningkatkan daya saing serta kepakaran yang ada.

Justeru, Unit Latihan Dan Pendidikan Lanjutan (ULPL) ditubuhkan bagi membantu mengenalpasti, merancang, menyelaras, dan melaksanakan latihan-latihan yang diperlukan oleh kakitangan politeknik. Latihan yang dirancang bukan hanya tertumpu kepada peningkatan kemahiran semata-mata malah latihan-latihan berbentuk peningkatan kendiri seperti kursus jati diri, komunikasi, integriti, kepimpinan, dan lain-lain turut direncanakan setiap tahun.

Selaras dengan keperluan Pembelajaran Sepanjang Hayat, ULPL turut menawarkan 3 kategori kursus di bawah Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) iaitu seperti kursus pendek dan kursus terlanggan. Kursus-kursus ini ditawarkan khusus kepada mana-mana institusi, masyarakat setempat dan individu yang berminat melalui penggunaan sumber kepakaran dan fasiliti yang terdapat di Politeknik Muadzam Shah.

OBJEKTIF 

  • Berusaha memastikan staf mengikuti jumlah hari berkursus dalam bidang yang relevan mengikut kepada arahan yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa.

SKOP
  • Unit Latihan Dan Pendidikan Lanjutan (ULPL) berperanan dalam perancangan, penyelarasan, dan pelaksanaan pemberian latihan kepada semua staf PMS melalui latihan dalaman ataupun luaran sepertimana keperluan daripada pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengenai kehadiran hari berkursus. Bagi meningkatkan kompetensi dan kolaborasi bersama pihak industri, para pensyarah digalakkan untuk mengikuti program sangkutan industri yang dikawalselia oleh Bahagian Latihan Dan Pembangunan Kerjaya, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. ULPL turut menawarkan program jangka pendek dan program pengajian separa masa kepada pihak industri dan masyarakat umum berdasarkan kepakaran dan sumber yang ada di Politeknik Muadzam Shah.

FUNGSI
• Menyelaras dan melaksanakan latihan/kursus/bengkel bagi memenuhi keperluan kompetensi semua kakitangan politeknik samada secara dalaman, luaran, formal dan tidak formal.
• Menyelaras Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) iaitu merangkumi kursus pendek dan kursus terlanggan.
• Menguruskan penempatan pegawai di industri di bawah program Sangkutan Industri Pensyarah.
• Menguruskan pentadbiran dan urusan penginapan di Ivory Inn.