Berita Semasa

Berita Semasa (153)

30 September 2026 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah mengadakan Kunjungan Hormat serta Majlis Penyerahan Peruntukan Program Ihsan Food Bank kepada Politeknik Muadzam Shah (PMS).
Delegasi KPDN Negeri Pahang yang hadir terdiri daripada Encik Mohd Faiz Syazwan bin Zainal Abidin, Ketua Seksyen Pendayaupayaan Pengguna, Pentadbiran & Kewangan, serta Puan Suhailey binti Bakar, Penolong Pegawai Tadbir Pendayaupayaan, Pentadbiran & Kewangan.
Program ini merupakan salah satu inisiatif KPDN Negeri Pahang dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama Politeknik Muadzam Shah, khususnya dalam membantu mahasiswa yang memerlukan serta memastikan mereka mendapat akses kepada bekalan makanan yang mencukupi.
Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen KPDN Negeri Pahang dalam membantu meringankan beban mahasiswa, di samping memperkukuh aspek kebajikan dan kesejahteraan pelajar.
Semoga pelaksanaan Program Ihsan Food Bank di Politeknik Muadzam Shah ini dapat memberikan manfaat kepada para pelajar yang memerlukan serta terus menyemarakkan budaya keprihatinan, kesukarelawanan dan kebersamaan dalam membantu golongan yang memerlukan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada KPDN Negeri Pahang atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan kepada warga Politeknik Muadzam Shah.

28 September 2026: Pasukan PolyAgroPMS dari Politeknik Muadzam Shah meraih kejayaan menerusi dua inovasi dalam World Sustainable Development Goals Challenge (WSDG) 2026. Majlis penganugerahan telah berlangsung pada 27 September 2026 di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya.


Sambal Garing Cendawan
Gold Award
First Place – Environmental Science & Sustainability
MMU President’s Excellence Award (Winner)
WSDG Entrepreneurship & Economy Award
WSDG Global SDG Champion Award


Bokashi Pro
Gold Award

Sambal Garing Cendawan mengetengahkan konsep “Waste to Taste” dengan mengolah cendawan tiram yang tidak memenuhi gred pasaran segar menjadi produk makanan bernilai. Bokashi Pro pula memanfaatkan sisa bongkah cendawan melalui proses fermentasi untuk kegunaan pertanian.


Ahli pasukan PolyAgroPMS:
Muhamad Zarief Akmal bin Abdullah
Muhammad Hariz Ikhwan bin Madrul Hisyam
Muhammad Danish Eddin bin Mohd Zamani
Mentor: En. Mohd Emran bin Mat Hassan

Tahniah kepada seluruh pasukan atas usaha dan komitmen membawa nama Politeknik Muadzam Shah ke pentas antarabangsa. Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong perjalanan inovasi PolyAgroPMS! ?
Inovasi Lestari, Rasa Berkualiti, Nilai Berganda.

11 September 2026 – Seramai 10 orang pelajar PISPA Politeknik Muadzam Shah (PMS) yang mengikuti kokurikulum unit beruniform MPU24151 – PISPA 1 dan MPU24261 – PISPA 2 telah berjaya menamatkan Kursus Metodologi Latihan Pertahanan Awam Siri 4/2026 di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Timur (PULAPAT) pada 7 hingga 11 September 2026.


Kursus ini bertujuan memberikan pengetahuan dan kemahiran kepada peserta dalam aspek perancangan, pelaksanaan serta penilaian latihan secara sistematik dan berkesan. Peserta turut didedahkan kepada prinsip, kaedah serta teknik pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang bersesuaian bagi membentuk jurulatih yang berwibawa, berdisiplin dan profesional dalam melaksanakan latihan pertahanan awam.


PMS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan pegawai dan jurulatih PULAPAT atas segala perkongsian ilmu serta APM Daerah Rompin atas kerjasama dalam penyediaan keperluan logistik sepanjang kursus berlangsung.
Penghargaan turut ditujukan kepada Mejar Bersekutu (PA) Kamarudin bin Ripin dan Mejar Bersekutu (PA) Dr. Mastura binti Mustaffa selaku penyelaras kursus atas komitmen dan bimbingan yang diberikan.
Sedia, Pantas & Berintegriti!

30 Ogos 2026- Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Daerah Kecil Muadzam Shah berlangsung meriah dengan pengisian Muadzam Merdeka Night Run 2026, anjuran bersama Politeknik Muadzam Shah (PMS) dan Koperasi Otai Masih Berbisa (KOMBI).
Program yang menghimpunkan 438 peserta menerusi kategori larian 3 km dan 5 km ini merupakan inisiatif pelajar DUP4B, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH), PMS di bawah bimbingan pensyarah kursus Event Operation and Management, Puan Suriyati binti Tajrud-din dan Tuan Haji Hadi bin Noordin, dengan dukungan barisan kepimpinan serta pensyarah PMS.
Mengangkat tema “Menyulam Warisan, Melakar Kemerdekaan”, program ini menggabungkan elemen riadah, pembelajaran berasaskan pengalaman dan penghayatan patriotisme dalam suasana larian malam yang meriah.
Kemeriahan turut diserikan dengan 40 hadiah cabutan bertuah, termasuk empat hadiah utama tajaan KOMBI iaitu televisyen pintar, mesin basuh, gold bar seberat satu gram dan skuter elektrik.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua urus setia, petugas, sukarelawan, agensi, rakan strategik, penaja serta peserta yang bersama-sama menjayakan program ini.
Semoga Muadzam Merdeka Night Run 2026 terus menjadi wadah menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan komuniti serta membudayakan gaya hidup aktif.

MUADZAM MERDEKA NIGHT RUN 2026
Menyulam Warisan, Melakar Kemerdekaan

13 Ogos 2026 – Alhamdulillah, telah berlangsung Majlis Penyerahan Wakalah Zakat dan Seminar Zakat dan Wakaf IPT Negeri Pahang bertempat di Dewan Sri Muadzam, Politeknik Muadzam Shah (PMS).
Program anjuran Pusat Zakat dan Wakaf Pahang, Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Am dan Jabatan Perdagangan, PMS ini turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif Pusat Zakat dan Wakaf Pahang serta Timbalan Pengarah Akademik PMS, Encik Shahrul Nizam bin Mohamed.
Antara pengisian utama ialah Majlis Penyerahan Wakalah Zakat Institusi yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif Pusat Zakat dan Wakaf Pahang, serta Seminar Zakat dan Wakaf yang memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai kepentingan dan kelebihan zakat serta wakaf.
Semoga program ini dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran warga IPT terhadap kepentingan zakat dan wakaf, di samping memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi pendidikan dengan pihak pengurusan zakat dan wakaf.

Semoga perkongsian ilmu ini memberi manfaat dan menjadi pemangkin kepada pembudayaan amalan zakat dan wakaf dalam kalangan warga PMS.

Politeknik Muadzam Shah perkasa kebolehpasaran graduan melalui Pensijilan Profesional Amadeus
 
Untuk berita lanjut, layari:-

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan inovasi Jabatan Pengajian Am, Politeknik Muadzam Shah (PMS) atas kejayaan meraih Silver Award dalam International Innovation ARSVOT Malaysia 2026 (IAM2026).

Pasukan inovasi ini terdiri daripada Ustaz Mohammad Hafeez bin Md Ramli selaku Ketua Kumpulan, bersama Ahmad Shauqi bin Abu Kashim dan Siti Nurunnajah binti Sulaiman.


Pengiktirafan tersebut diterima menerusi pembentangan inovasi bertajuk SMART Integrity Tower: Gamified Learning Tool for Integrity and Anti-Corruption Education (ID:70), yang mengetengahkan pendekatan pembelajaran berasaskan gamifikasi bagi memperkukuh pendidikan integriti dan antirasuah dalam kalangan pelajar.


Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan warga akademik Politeknik Muadzam Shah dalam memperkasa budaya penyelidikan, kreativiti dan inovasi, sekali gus menghasilkan penyelesaian yang memberi impak positif kepada pendidikan serta pembangunan masyarakat. Seluruh warga Politeknik Muadzam Shah merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan serta mengharumkan nama institusi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

10 Julai 2026 – Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, satu Aktiviti Pemasangan Bendera Negeri Pahang telah dilaksanakan di sekitar kawasan Politeknik Muadzam Shah (PMS) bagi menyemarakkan sambutan serta sebagai tanda menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.


Aktiviti ini telah dijayakan oleh para pelajar daripada Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dan Rakan Pusat Islam (RAPI) PMS dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat, Unit Hal Ehwal Pelajar, Unit Pentadbiran serta Unit Pengurusan Aset dan Stor.
Semoga inisiatif ini dapat menyemai semangat patriotisme, memperkukuh jati diri serta memupuk rasa taat setia kepada Raja dan negeri dalam kalangan warga Politeknik Muadzam Shah.


“Stronger Together, Soaring Higher”

Bengkel Latihan Persediaan Pertandingan PolyCCSkills 2026 bagi bidang Graphic Design Technology telah berlangsung pada 7 hingga 9 Julai 2026 bertempat di Studio Rekabentuk (iMAC Lab), Politeknik Ibrahim Sultan (PIS).
Jurulatih merangkap pensyarah pengiring yang turut serta sepanjang bengkel ini ialah En. Muhammad Hafizuddin bin Azhar, Ts. Nor Azilah binti Azmil dan Ts. Farhah binti Mohd Shafiei. Turut menyertai bengkel ini ialah dua orang pelajar Semester 2 Program Diploma Teknologi Media Cetak (WBL) iaitu Nurul Fatin Najwa binti Mohd Rodi dan Nur Fatin Aqilah binti Ismail.
Bengkel ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kefahaman peserta serta jurulatih terhadap aspek teknikal test project, selain memberi pendedahan kepada rubrik pemarkahan pertandingan yang mengikut standard antarabangsa. Pendedahan ini diharapkan dapat membantu semua peserta membuat persediaan yang lebih rapi sebelum menghadapi pertandingan sebenar.
Walaupun jadual bengkel padat dan mencabar dari segi mental serta fizikal, program ini memberikan peluang yang amat bernilai untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman dan mengasah kemahiran. Semoga segala ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai bekalan menghadapi cabaran pertandingan nanti.
All the best untuk semua peserta, jumpa di Politeknik Metro Kuala Lumpur pada Ogos nanti untuk POLYCCSKILLS 2026 bidang Graphic Design Technology!
“Stronger Together, Soaring Higher”
“Lakar Masa Depan Anda dengan Kreativiti bersama JRKV PMS”

PEMAKLUMAN AWAL MAJLIS KONVOKESYEN POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI 2026 ZON TIMUR

Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh bakal graduan Politeknik dan Kolej Komuniti!

Untuk makluman, Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Tahun 2026 bagi graduan di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang akan dilaksanakan secara berpusat di bawah Zon Timur.

Tempat:
Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tarikh Konvokesyen:
6 – 10 September 2026

Sehubungan itu, semua bakal graduan dimohon untuk sentiasa peka dan mengambil maklum terhadap sebarang hebahan rasmi serta maklumat lanjut yang akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui platform media sosial rasmi politeknik dan kolej komuniti masing-masing atau melalui pautan berikut:

https://bit.ly/konvopolycczontimur2026

Tahniah kepada seluruh bakal graduan. Semoga majlis konvokesyen ini menjadi detik bermakna dalam meraikan kejayaan dan pencapaian anda.

 

 

“Stronger Together, Soaring Higher” 

#KonvoPolyCC2026
#MalaysiaMADANI
#TVETForAll
#POLYCCPilihanPasti
#PMSHebat
#PeopleMakeSuccess
#PoliteknikMuadzamShah