Program ‘Kembara Amal Seindah Ramadhan’ Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PMS.

Program ‘Kembara Amal Seindah Ramadhan’ Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PMS.
11 & 12 April 2023 (Selasa & Rabu) : Program ‘Kembara Amal Seindah Ramadhan’ Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PMS.
Pelajar Semester 5, Diploma Pelancongan Rekreasi, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti telah menganjurkan Program ‘Kembara Amal Seindah Ramadan’ di bawah Kursus Recreational Voluteerism dan Kursus Community Based Tourism. Program bermula dengan gotong-royong memasak dan menyiapkan juadah 300 pek roti jala dan kuah kari dan telah diagihkan kepada pengawal keselamatan (sekuriti) dan pekerja kebersihan serta kepada pelajar dan staf PMS yang berbuka puasa di Pusat Islam. Manakala program 'Recreational Talk' pula telah disampaikan oleh Pensyarah JPH, En Mohd Rahimi bin Mohd Shahimi kepada Pelajar Semester Satu DRT1A dengan memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan halatuju kerjaya di dalam bidang rekreasi.
 
Majlis Perasmian Program ‘Kembara Amal Seindah Ramadan’ telah disempurnakan oleh Encik Harulnizam bin Mohamad, Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti di Pusat Islam, PMS. Beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan zakat MUIP kepada pelajar-pelajar JPH kategori asnaf. Program diteruskan dengan sesi tadarus Al-Quran oleh pelajar JPH di Pusat Islam dan disusuli dengan Majlis Iftar beramai-ramai oleh pensyarah dan seluruh pelajar JPH yang diserikan dengan kehadiran Encik Muhammad Rafie bin Hamzah, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, PMS.
Kemuncak acara program merupakan Kembara Sahur di mana 80 set makanan sahur telah diagihkan kepada para pelajar Politeknik Muadzam Shah dan 70 set sahur telah diserahkan kepada staf di Balai Polis Muadzam Shah, Balai Bomba Muadzam Shah, Unit Kecemasan Hospital Muadzam Shah serta komuniti orang ramai di Dataran Muadzam Shah yang berakhir pada jam 3.00 pagi. Misi kembara sahur ini merupakan satu pelaksanaan Corporate Social Responsibility (CSR) dan amat mesra komuniti.
 
Dengan berlangsungnya program ini, diharap ianya dapat mengukuhkan dan meningkatkan lagi hubungan erat antara Politeknik dan komuniti di sekitar Muadzam Shah. Program ini juga memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dalam mengendalikan dan menganjurkan program kesukarelawanan serta memupuk rasa keprihatinan kepada masyarakat dan komuniti sekitar selain memenuhi keperluan kursus yang diambil.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada warga JPH.