LAWATAN RASMI YBM KPT TINJAU KEMUDAHAN DAN FASILITI DI POLITEKNIK MUADZAM SHAH, CERMIN KEPRIHATINAN KPT TERHADAP WARGA POLYCC

LAWATAN RASMI YBM KPT TINJAU KEMUDAHAN DAN FASILITI DI POLITEKNIK MUADZAM SHAH, CERMIN KEPRIHATINAN KPT TERHADAP WARGA POLYCC

6 Mac 2026 (Jumaat) – Politeknik Muadzam Shah (PMS) telah menerima lawatan rasmi YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi bagi meninjau perkembangan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan 1 Tahun 2026.
Ketibaan YB Menteri telah disambut oleh YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, serta YBrs. Encik A. Azman bin Arshad, Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, bersama barisan pengurusan Politeknik Muadzam Shah.


Sepanjang lawatan rasmi ini, YB Menteri turut dibawa meninjau beberapa lokasi dan kemudahan sekitar kampus bagi melihat sendiri keadaan fasiliti serta perkembangan projek pembangunan di institusi ini. Lawatan tersebut turut diisi dengan sesi taklimat oleh Pengarah Politeknik Muadzam Shah, Tuan Haji Mohd Yusof bin Zakaria, yang membentangkan perkembangan semasa institusi serta penerangan berkaitan pelaksanaan projek penyelenggaraan bangunan usang dan projek pembangunan di bawah RMK-13.


Dalam lawatan ini juga, YB Menteri sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Politeknik Muadzam Shah bersama warga kampus sebelum menyampaikan sumbangan kepada pelajar asnaf PMS sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pelajar.
Seluruh warga Politeknik Muadzam Shah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian YB Menteri meluangkan masa mengadakan lawatan rasmi ke PMS, sekali gus memberi suntikan semangat kepada warga institusi dalam meneruskan agenda kecemerlangan pendidikan TVET.