POLITEKNIK MUADZAM SHAH CEMERLANG DI PROGRAM JIWAKU 2024

POLITEKNIK MUADZAM SHAH CEMERLANG DI PROGRAM JIWAKU 2024
16-18 Ogos 2024: Politeknik Muadzam Shah telah mencatat sejarah membanggakan dalam Program Jalinan Warisan Kebangsaan dan UNESCO (JIWAKU) 2024. Acara ini yang dianjurkan oleh Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) merupakan sebahagian daripada Festival POLYCC 2024, dengan penyertaan pelajar dari seluruh Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia.
 
Di bawah bimbingan Pegawai Kebudayaan, Cik Syuhairah binti Mohd Norhisham Lee, dua pelajar daripada Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual telah dihantar bagi mewakili Politeknik Muadzam Shah (PMS) dalam pertandingan Vlog dan Fotografi. Muhammad Nashran bin Abd Latib menyertai kategori Vlog, manakala Muhammad Aiman Akif bin Syaffendi bertanding dalam kategori Fotografi.
 
Daripada keseluruhan 74 peserta dari seluruh Politeknik Malaysia, Muhammad Aiman Akif bin Syaffendi telah berjaya meraih gelaran Juara dalam Pertandingan Fotografi. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM150.00. Hasil karyanya yang berjaya menambat hati juri adalah foto yang mengabadikan imej seorang wanita Orang Asli dari komuniti Sungai Lembing. Foto tersebut memaparkan keindahan budaya dan warisan tempatan, selaras dengan tema pertandingan, ‘Jejak El-Dorado @ Muzium Sungai Lembing – ke arah pengiktirafan tapak warisan UNESCO’.
 
Pencapaian ini sekali gus mengangkat nama PMS di peringkat kebangsaan serta menunjukkan kemampuan pelajarnya dalam menghasilkan karya seni yang berkualiti tinggi serta mempunyai daya saing dalam bidang seni visual dan kreatif.