KEJOHANAN CATUR TERBUKA ADUN MUADZAM SHAH 2024 PIALA YB IR RAZALI KASSIM

KEJOHANAN CATUR TERBUKA ADUN MUADZAM SHAH 2024 PIALA YB IR RAZALI KASSIM
04.05.2024 (SABTU) : KEJOHANAN CATUR TERBUKA ADUN MUADZAM SHAH 2024 PIALA YB IR RAZALI KASSIM
 
Jabatan Matematik, Sains & Komputer Politeknik Muadzam Shah (JMSK PMS) telah menganjurkan Kejohanan Catur Terbuka Adun Muadzam Shah 2024, Piala YB Ir. Razali Kassim Peringkat Negeri Pahang. Penganjuran ini melibatkan rakan kolaborasi JMSK PMS iaitu SMK Chanis sebagai penganjur bersama. Kejohanan ini disertai lebih daripada 400 peserta dari tujuh negeri iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur dan Melaka. Malah sembilan daripada sebelas daerah dalam Negeri Pahang juga telah menghantar peserta.
 
Kejohanan catur yang berlangsung pada hari ini melibatkan penyertaan lebih 70% peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah. Penglibatan peserta khususnya pelajar, dalam menjayakan pertandingan ini adalah sejajar dengan usaha mempelbagaikan kegiatan dalam bentuk kejohanan dan pertandingan yang sihat dan mencabar keupayaan pelajar untuk mencapai tahap yang tertinggi.
 
Objektif utama kejohanan catur ini adalah untuk memberikan peluang kepada peserta berinteraksi secara interaktif dan produktif bersama rakan-rakan dari daerah atau negeri lain secara bersemuka. Di samping itu, ia bertujuan untuk menarik minat lebih ramai orang kepada sukan catur.
Kejohanan ini telah dirasmikan oleh YB Ir. Razali bin Kassim, ADUN Muadzam Shah. Turut bersama dalam majlis ini adalah Pengarah PMS, Haji Yusof bin Zakaria, Timbalan Pengarah Akademik, Encik Shahrul Nizam bin Mohamed, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Encik Muhammad Rafie bin Hamzah, Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Encik Abdul Rahman bin Abdullah, Pengetua SMK Chanis Encik Nadzri bin Mat Salleh dan Ketua Jabatan Matematik, Sains & Komputer, Puan Sharifah Noor Anita binti Syed Jaafar. YB ADUN Muadzam Shah juga telah menyumbang RM4000 bagi melaksanakan kejohanan ini serta pemberian hadiah bagi pemenang melalui Encik Muhamad Aizat bin Nordin daripada SMK Chanis.
 
Tahniah diucapkan kepada para peserta dan pemenang. Sekalung ucapan penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada urusetia program yang telah memberikan kerjasama dan komitmen padu bagi melancarkan perjalanan program ini.