SDGs AIDILADHA 2026 MALAYSIA–INDONESIA: POLITEKNIK MUADZAM SHAH TURUT SERTA DALAM INTERNATIONAL MOBILIZATION EDUCATIONAL ENHANCING OPPORTUNITY PARTNERSHIP SYNERGY, CSR & IBADAH QURBAN
26 Mei 2026 – Semangat ukhuwah serumpun Malaysia–Indonesia terus diperkukuhkan menerusi program mobiliti antarabangsa berimpak tinggi yang menghimpunkan delegasi Malaysia dan Indonesia melalui pelbagai pengisian berteraskan ibadah korban, CSR, bakti siswa, kampung angkat, pertukaran budaya serta jaringan pendidikan global.
Program yang berlangsung dari 26 hingga 31 Mei 2026 ini dianjurkan oleh Kolej Komuniti Tanjung Piai dengan kerjasama Universitas Negeri Padang (UNP), Koperasi Kolej Komuniti Tanjung Piai, Kantor Walani Nagari Lubuk Jantan, Masjid Nurul Huda Kelumpang, Pejabat Kadi Daerah Pontian, Yayasan Perbandaran Pontian, Fitness Network Centre, Persatuan Alumni Politeknik Muadzam Shah (PMS) serta beberapa institusi POLYCC lain termasuk Kolej Komuniti Segamat, Politeknik Muadzam Shah (PMS), Kolej Komuniti Pasir Gudang, Kolej Komuniti Kota Tinggi, Politeknik Ibrahim Sultan dan Politeknik METrO Kuantan.
Mobiliti antarabangsa ini berlangsung di Jorong Dahlia, Lubuk Jantan, Kec. Lintau Buo Utara, Tanah Datar, Indonesia.
Program yang diketuai oleh Encik Mohd Jeffry bin Zainuddin selaku Ketua Delegasi ini turut disertai seramai 19 orang pelajar bersama pensyarah pengiring dan jawatankuasa pelaksana. Pelbagai pengisian berimpak tinggi seperti Program Korban Perdana, lawatan akademik, bakti siswa dan malam kebudayaan dijalankan sebagai medium pertukaran ilmu, budaya dan pengalaman antarabangsa.
Penglibatan Politeknik Muadzam Shah dalam program ini mencerminkan komitmen institusi dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan TVET, memperluas jaringan strategik global serta melahirkan graduan holistik yang berdaya saing dan berfikiran global.
Program ini juga selari dengan aspirasi iltizam 13 POLYCC dalam memperkasa pengantarabangsaan melalui pengukuhan mobiliti pelajar, jaringan strategik global dan pembangunan graduan berdaya saing serta berfikiran global di samping menyokong matlamat Sustainable Development Goals (SDG) melalui pendekatan TVET.