Print this page

LAWATAN ILMIAH PELAJAR DPM2B KE KOMPLEKS SPRM PAHANG PERKASA KESEDARAN INTEGRITI

LAWATAN ILMIAH PELAJAR DPM2B KE KOMPLEKS SPRM PAHANG PERKASA KESEDARAN INTEGRITI
24 Februari 2026 (Selasa) – Seramai 32 orang pelajar Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) Semester 2 (DPM2B) bersama empat orang pensyarah pengiring telah mengadakan lawatan ilmiah ke Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang. Lawatan ini diketuai oleh Ketua Jabatan Pengajian Am, Ustaz Badrul Hakimi bin Mohd Bastamam selaku ketua delegasi.
 
Program anjuran Unit Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai bahaya jenayah rasuah, salah guna kuasa serta kepentingan amalan integriti dalam kehidupan seharian. Lawatan ini turut memberi peluang kepada pelajar memahami dengan lebih mendalam peranan, fungsi dan bidang kuasa SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.
Sepanjang program, para pelajar telah mengikuti sesi taklimat berkaitan fungsi SPRM, prosedur siasatan serta inisiatif pencegahan rasuah yang dilaksanakan. Pelajar juga dibawa melawat beberapa fasiliti di kompleks berkenaan bagi melihat dengan lebih dekat mekanisme operasi dan pelaksanaan tugas penguatkuasaan.
 
Program ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh pembelajaran teori di dalam kelas dengan pengalaman sebenar di lapangan. Pendedahan tersebut diharapkan dapat menyemai kesedaran serta membentuk jati diri pelajar agar sentiasa menjunjung tinggi nilai integriti dan etika dalam setiap tindakan.